Monday 24 October 2011

Bahagian Najis

Najis ‘Aini Dan Najis Hukmi
Najis terbahagi kepada dua bentuk, iaitu najis  ‘aini dan najis
hukmi.
Pertama: Najis ‘aini, iaitu dzat (‘ain) najis tersebut atau sifatnya;
iaitu rasa, warna dan bau yang boleh dikesan dengan pancaindera.
Kedua: Najis hukmi, iaitu dzat (‘ain) najis dan sifatnya yang tidak
boleh dikesan dengan pancaindera, oleh sebab tersembunyi, tidak
kelihatan atau hilang kesan najis tersebut; seperti air kencing yang
telah kering


Cara Membersihkan Najis ‘Aini Dan Hukmi
Cara membersihkan atau menyucikan bahagian atau tempat yang
mampat (bukan jenis cecair) yang terkena najis adalah seperti
berikut:
1. Najis ‘Aini 
Sesuatu bahagian atau tempat  yang terkena selain najis
mughallazhah (anjing dan babi), cara membersihkannya ialah
menghilangkan dzat najis tersebut terlebih dahulu. Kemudian
diikuti dengan cucian atau basuhan (jirusan) menggunakan air
muthlaq yang menghilangkan atau menghapuskan sifat najis iaitu
rasa, warna dan bau. Jika perlu menggunakan seumpama sabun
dan dia mampu mengadakannya, maka hendaklah digunakan.
 
Manakala sesuatu bahagian atau tempat yang terkena najis
mughallazhah (anjing dan babi), maka cara membersihkannya atau
menyucikannya ialah dengan cara menyertu. Caranya ialah
bahagian yang terkena najis itu hendaklah dibasuh sebanyak 7 kali
dengan air  muthlaq, salah satu daripadanya hendaklah air yang

bercampur dengan tanah yang suci dengan kadar sekira-kira keruh
air tersebut. Perlu juga diingat, jika masih terdapat dzat najis, maka
hendaklah terlebih dahulu dihilangkan dzat najis itu kemudian
barulah dilakukan sertu.
Perkara ini berdasarkan hadits  yang diriwayatkan oleh Abu
Hurairah  Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah  Shallallahu ‘alaihi
wasallam bersabda:
Maksudnya: “Apabila anjing menjilat pada bejana salah seorang
di antara kamu, maka cucilah ia  dengan tujuh kali cucian, salah
satunya (air) yang bercampur dengan tanah.”    
 (Hadis riwayat al-Baihaqi)
Keadaan yang dituntut untuk menyertu sesuatu bahagian atau
tempat yang terkena najis  mughallazhah ialah apabila salah satu
atau kedua-dua pihak itu dalam  keadaan basah, sama ada kerana
menyentuh atau tersentuh najis tersebut atau suatu bahagian atau
tempat itu menjadi najis disebabkan olehnya.


2. Najis Hukmi
Cara membersihkan atau menyucikan bahagian atau tempat yang
terkena najis  hukmi, iaitu yang tidak lagi didapati dzat dan sifat
(bau, rasa dan warna) najis, seperti kencing yang telah kering, ialah
memadai dengan menjirus (mengalirkan) air ke atasnya sebanyak
satu kali jirusan. Memadai, yakni terhasil, kebersihan dan kesucian
bahagian atau tempat yang terkena najis itu  walaupun tanpa
dilakukan oleh sesiapa (pelaku), umpama bahagian atau tempat itu
dijirus atau disirami oleh air hujan.
Manakala cara menyucikan najis  hukmi daripada jenis najis
mughallazhah yang sudah hilang dzat  dan sifatnya ialah dengan
cara menyertu sepertimana yang telah dijelaskan terdahulu.

Kesan Najis ‘Aini Sukar Dihilangkan Atau Dihapuskan
Dalam keadaan tertentu, walaupun dzat najis itu dapat dihilangkan,
namun kadang-kala terdapat  kesukaran untuk menghilangkan
keseluruhan kesan atau sifat najis, seumpama kesan warna darah
dan bau arak yang sukar untuk dihilangkan.
Jika ini yang berlaku, memadailah dengan menghilangkan dua
daripada tiga sifat najis, umpamanya rasa dan warna atau rasa dan
bau. Akan tetapi hendaklah  digosok dengan bersungguh-sungguh
terlebih dahulu bahagian atau  tempat yang masih ada kesan bau
atau warna dengan air sebanyak 3 kali. Setelah dilakukan
sedemikian dan masih juga terdapat bau atau warna najis,
sekalipun daripada najis mughallazhah, maka bahagian atau tempat
itu dianggap sudah bersih atau suci. Sekiranya dia berupaya untuk
menghilangkan kesan najis tersebut selepas itu, maka tidak wajib
ke atasnya lagi untuk menghilangkannya.
Adapun sifat ‘rasa’ daripada najis tersebut, mestilah dihilangkan,
kecuali jika terdapat keuzuran, maka ia adalah dimaafkan. Maksud
keuzuran di sini rasa najis itu tidak hilang melainkan dengan
dipotong bahagian yang terkena  najis itu. Sekiranya kemudian
daripada itu dia berupaya untuk  menghilangkan ‘rasa’ najis
tersebut, maka wajib menghilangkannya.
Manakala dalam menentukan rasa  dan bau najis tersebut sudah
hilang atau belum, adalah memadai dengan adanya sangkaan yang
kuat bahawa rasa dan bau najis  itu sudah hilang dan ianya tidak
wajib diuji dengan merasanya ataupun menghidunya.

4 comments:

  1. Assalamualaikum, apakah air yang telah digunakan untuk membersihkan najis hukmi itu suci? bagaimana sebagai contoh di atas lantai, air tersebut masih belum kering sepenuhnya. Sekiranya ada yang terpijak apakah ianya najis? ataupun sudah teranggap suci?

    ReplyDelete
  2. klau sya sekadar spray air di tmpt najis hukmi tdi. tanpa lap tmpt itu sesudah spray tdi dan biarkan kering. sudah dikira suci ke?.

    ReplyDelete